Hari ni saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Panda Love Charity kerana memberikan saya peluang untuk memperkenalkan Pusat Rumah Orang Tua Weng Da. Saya Liew Hong Chen, pengasas rumah orang tua ini. Rumah orang tua ini mula beroperasi sejak tahun 2003, dan telah beroperasi selama 19 tahun. Kini, rumah orang tua kami terletak di sebuah rumah banglo di Taman SEA, Seremban, Negeri Sembilan, dan kami telah menerima lebih 20 orang penghuni sebatang kara. Mereka merupakan warga emas yang menghidapi kemurungan, tidak dapat menguruskan diri dalam kehidupan harian, ataupun yang papa kedana. Antara penghuni kami terdapat yang gelandangan, yang masih bujang, dan juga yang dihantar oleh ahli keluarga masing-masing ke sini kerana tidak mampu menjaga mereka. Sebelum ini saya pernah menjadi sukarelawan di sebuah hospital, ketika itu saya menemui ramai gelandangan berusia yang tidak dapat ditempatkan di institusi kerajaan. Oleh itu, saya terfikir untuk mengambil mereka dan menjaga mereka. Oleh sebab kini rumah orang tua ini telah mengambil terlalu ramai warga emas gelandangan, mereka hanya dapat bergerak dalam ruangan yang amat terhad. Tempat ini telah dipenuhi dengan katil, maka kami membiarkan mereka berehat di halaman rumah. Dengan melihat mereka hanya mampu beristirahat dalam kawasan sempit, saya ingin meluaskan ruangan rumah orang tua ini, supaya mereka dapat hidup dengan selesa. Sebelum wabak COVID-19, kami mengaturkan rawatan akupuntur atau rawatan fisioterapi untuk warga emas ini Namun disebabkan oleh wabak ini, kami terpaksa menghentikan semua kegiatan perubatan ini demi mengelakkan orang-orang tua daripada dijangkiti penyakit. Kami sebenarnya amat prihatin terhadap kesihatan mereka, setiap kali kami mendapati mereka jatuh sakit, kami akan memanggil ambulans dengan segera untuk membawa mereka ke hospital. Secara jujur menjaga mereka sememangnya sukar, tetapi memandangkan ada yang tidak dapat bergerak, dan ada juga yang tidak dapat bercakap, saya rasa lebih baik tolonglah mereka dengan sedaya upaya! Sejak berlaku pandemik, kami banyak mengalami kesempitan dana, terutamanya perbelanjaan bulanan yang sekurang-kurangnya RM30,000 sememangnya suatu beban yang berat bagi saya. Ketika wabak berleluasa saya memang terfikir untuk melepaskan sahaja operasi rumah orang tua ini, namun saya tidak sampai hati untuk membiarkan mereka bergelandangan begitu saja, memandangkan tiada sesiapa yang sudi terus menjaga orang-orang tua ini. Akhir kata, saya berharap agar melalui saluran ini, kami akan dapat mencari rakan kerjasama dengan matlamat yang sama untuk menyertai kami dalam gerak kerja kebajikan ini. Ini kerana di sini saya tidak dapat memperolehi apa-apa bantuan, saya berasa teramat penat. Saya dan seluruh warga rumah orang tua ini amat bersyukur atas sokongan jitu daripada Panda Love Charity.
This will close in 20 seconds