Salam Sejahtera, nama saya Jageet Kaur, salah seorang pengasas Rumah Jagaan St. Mary’s. Biasanya, kawan-kawan panggil sebagai Sonia. Saya berasal dari Pulau Pinang dan pernah mengambil kursus kejururawatan di United Kingdoms. Tujuan saya menubuhkan Rumah Jagaan St. Mary’s ialah untuk menyumbang kepada masyarakat. Saya menubuh rumah jagaan ini selepas suami saya meninggal pada tahun 1985. Masa itu saya baru berusia 32 tahun dan terpaksa membesarkan 2 anak lelaki saya seorang diri. Memandangkan saya amat minat dengan kejururawatan, dan memiliki Diploma Pendidikan Kejururawatan serta berpengalaman menjaga warga emas, saya sentiasa percaya bahawa Rumah Jagaan St. Mary’s adalah cara saya menyumbang kepada keluarga dan juga masyarakat. Rumah jagaan pertama kami berada di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Kemudian rumah jagaan kami semakin kembang sehingga kami mengendalikan 4 pusat jagaan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Kini setiap rumah jagaan kami boleh menempatkan 15 hingga 30 orang pada bila-bila masa. Biasanya, penghuni kami adalah mereka yang kurang upaya dan perlukan bantuan. Ramai yang ingin tahu tentang aktiviti dan perkhidmatan harian yang ditawarkan oleh pusat kami. Sebenarnya kebanyakan penghuni pusat kami, merupakan mereka yang perlukan penjagaan pasca strok, penjagaan demensia, penjagaan barah, penjagaan sementara ataupun penjagaan pasca pembedahan. Kegiatan seharian kami direka untuk menambahbaik kedua-dua kesihatan fizikal dan mental mereka. Misalnya, kami menyediakan aktiviti fisioterapi berkumpulan dan perseorangan. Para penghuni boleh melukis, mewarna, menyusun suai gambar dan bermain mahjong sepuas-puasnya di pusat kami. Kadangkala kami juga melangsungkan acara yang boleh disertai bersama-sama oleh ahli keluarga penghuni, seperti sukan, membakar kuih ataupun acara fesyen. Jururawat dan penjaga kami sentiasa bersiap siaga untuk menjaga penghuni 24 jam sehari. Jika ada penghuni yang mengalami penyakit kategori satu seperti demam, sakit kepala, atau muntah, biasanya kami akan memeriksa mereka dan memberikan ubat-ubatan yang sesuai. Namun kalau gejala semakin teruk, atau sebarang kecemasan lain berlaku, keluarga penghuni akan dimaklumkan secepat mungkin supaya dihantar segera ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Ramai orang kurang jelas kenapa saya menceburi bidang ini. Seperti yang saya sebutkan tadi, saya amat berminat dengan menjaga warga emas. Sebab itulah saya pilih kejururawatan sebagai profesion saya. Apabila usia semakin meningkat, saya juga sedar bahawa penjagaan warga emas semakin penting dalam masyarakat hari ini. Tahukah anda perkhidmatan penjagaan kini merupakan perkhidmatan mewah yang bukan mampu dibiayai orang ramai? Lebih-lebih lagi ketika Malaysia menghadapi kegawatan ekonomi sebegini. Bagi saya, pencapaian yang paling ternilai ialah ketika menyaksikan penghuni semakin sembuh dan sihat semula. Saya cukup bergembira apabila melihat penghuni strok dapat berjalan semula selepas menyertai sesi pemulihan kami. Ramai tertanya-tanya sama ada menjaga penghuni ini senang atau tidak? Jika saya kata senang, sudah pasti saya berbohong. Menjaga para penghuni sememangnya sukar kerana sesetengah orang lebih sihat, sedangkan yang bukanlah sihat sangat. Kakitangan kami perlu menjaga pesakit kencing manis yang tidak menjaga luka mereka sebaik-baiknya sebelum ini, dan pesakit demensia yang perlu makan dengan tiub, tetapi asyik mencabut tiup itu. Jadi, ya, saya akan katakan menjaga penghuni yang perlukan penjagaan adalah amat mencabar. Di St. Mary’s, kos penjagaan seorang penghuni adalah di antara RM1,500 hingga RM3,500 sebulan, bergantung kepada keadaannya. Setelah mengambil kira makanan, gaji, air dan elektrik serta penyelenggaraan, perbelanjaan operasi kami sememangnya amat tinggi. Akhir-akhir ini kami merancangkan untuk mendirikan sebuah rumah khusus untuk golongan B40. Disebabkan pandemik ini, ramai orang terpaksa mencari kerja semula setelah perniagaan ditutup. Lagipun, pembantu rumah semakin susah dicari, oleh itu ramai terpaksa menempatkan orang tersayang di rumah jagaan. Namun, mereka pula menghadapi masalah kos yang tinggi. Jika kita boleh mengurangkan beban mereka dengan menyediakan penjagaan pada kos yang rendah, saya yakin kami boleh mewujudkan masyarakat yang lebih sihat dan baik. Dari segi kesukaran, memanglah banyak sekali! Sebagai contoh, kami perlu mengubahuai bangunan supaya sesuai dijadikan rumah penjagaan. Kami juga terus mengubahsuai dan menyelenggara bangunan sedia ada untuk memenuhi keperluan perubatan penghuni kami, dan ini memang memakan kos dan masa yang banyak. Di samping itu, kami perlu terus mengambil dan melatih semula kakitangan baharu untuk memastikan mereka memahami prosedur penjagaan terkini. Pusing ganti kakitangan yang kerap juga merupakan masalah yang kami hadapi. Akhir sekali, bagi pihak St. Mary’s, saya ingin menyampaikan penghargaan setinggi-tingginya kepada Panda Charity atas bantuan mereka.
This will close in 20 seconds