Salam Sejahtera, saya Richard Lee, pemilik dan penjaga Pusat Jagaan Orang Tua Lee Tiam Yew. Pusat ini telah ditubuhkan pada Mei 2013 oleh mendiang Encik Tan Tiong Wee, dengan nama Pusat Penjagaan Orang Tua Sentosa. Selepas kematian Encik Tan, saya pun ambil alih pusat ini dan mendaftarkannya di bawah nama Pusat Jagaan Orang Tua Lee Tiam Yew. Tujuan pusat ini adalah untuk menyediakan kediaman kepada warga emas kurang bernasib baik yang tidak dijagai oleh keluarga mereka. Buat masa ini, terdapat 23 orang warga emas Cina dan India di bawah jagaan kami. Wanita dibenarkan tinggal di dalam bilik, manakala lelaki pula tinggal di ruang terbuka. Pusat kami hanya mampu menyediakan penjagaan asas untuk orang tua. Kami akan membantu mereka dalam segi memberi makan dan menukar tiub nasogastrik (tiub Ryles), menukar kateter, menukar beg kencing, membalut luka, mandi dan membasuh baju. Apabila terdapat penghuni yang berasa kurang sihat, kami akan uruskan sekiranya mampu. Bagi mereka yang berada dalam keadaan serius dan perlu dimasukkan ke hospital, kami akan memanggil ambulans untuk menghantar mereka ke Hospital Besar. Oleh kerana saya tidak berpeluang menjaga ibu bapa saya sendiri, maka saya menumpukan hampir seluruh masa saya untuk menjaga warga emas. Bagi saya, melihat mereka hidup dengan gembira dan bahagia merupakan pencapaian yang paling memuaskan. Seperti yang diketahui tuan-tuan sekalian, setiap orang ada perwatakan dan personaliti diri tersendiri. Sepanjang saya berkhidmat di pusat ini, saya pernah jumpa beberapa orang warga mas yang susah diuruskan sebab personaliti atau tingkah laku mereka. Bagi mereka yang memang susah nak uruskan, kami terpaksalah asingkan mereka, atau hantar mereka balik kepada keluarga. Di pusat kami, perbelanjaan kami adalah lebih kurang RM16,000 hingga RM18,000 sebulan. Perbelanjaan terutamanya adalah gaji dan makanan, manakala perbelanjaan lain termasuk utiliti, bahan cuci, lampin dewasa, ubat-ubatan serta penyelenggaraan bangunan dan kenderaan. Untuk menempatkan lebih ramai warga emas, kami merancang untuk memperkembangkan pusat ini. Ruang kami sekarang sangatlah terhad, kami berharap dapat mendapatkan sebidang tanah kosong di belakang pusat kami untuk mendirikan dewan terbuka, supaya para penghuni akan mempunyai ruang yang lebih luas untuk menjalankan kegiatan seharian secara lebih selesa. Masalah terbesar kami sekarang ialah kekurangan dana. Kami terpaksa berjimat cermat dengan perbelanjaan demi mengelakkan defisit. Bagi pihak pusat ini, saya ingin merakamkan setinggi-tingginya penghargaan kepada Panda Love Charityy kerana sudi menghulurkan bantuan. Semoga dengan wawancara ini, orang ramai akan lebih memahami kami, dan lebih bersedia untuk memberikan sokongan kewangan kepada pusat kami.
This will close in 20 seconds