Hello, nama saya Vijaya, saya pengasas Pusat Jagaan Jayaa Sri, Beranang, Selangor. Pusat kami ditubuhkan pada 18 Julai 2018, dengan tujuan membantu anak-anak yatim, anak-anak ibu tunggal, serta orang kurang upaya (OKU), termasuk mereka yang kehilangan anggota badan, mereka yang sakit jiwa atau terpaksa memakai lampin. Kini, terdapat 30 penghuni ditempatkan di pusat kami, termasuk 14 kanak-kanak OKU dan 16 orang warga emas, yang kebanyakan merupakan pesakit angin ahmar. Para penghuni ini memerlukan penjagaan istimewa kerana sesetengah daripada mereka hanya boleh makan bubur atau makanan cecair, manakala ada yang memerlukan suntikan insulin atau penjagaan asma. Perkhidmatan yang ditawarkan disusun khas berdasarkan keperluan masing-masing. Bagi kanak-kanak, mereka akan menghadiri kelas tuisyen dan yoga. Bagi warga emas pula, kami sediakan penjagaan istimewa dan menghantar mereka ke hospital untuk rawatan susulan. Hanya setengah daripada penghuni kami mampu menguruskan kehidupan seharian seperti makan minum, mandi dan makan ubat. Bagi mereka yang tidak mampu berbuat demikian, kakitangan kami akan membantu mereka seorang demi seorang. Jika sesiapa jatuh sakit, kami akan menghantar mereka ke klinik berhampiran, memberi ubat-ubatan yang sesuai, dan menghantar mereka untuk mendapatkan rawatan susulan. Namun sekiranya gejala mereka berterusan atau bertambah serius, kami akan menghantar mereka ke hospital secepat mungkin. Mengenai pencapaian saya yang paling membanggakan, saya rasa adalah kes seorang warga emas yang menghidap kanser tekak. Beliau telahpun menerima rawatan di Hospital Serdang lebih sebulan namun keadaan masih kekal seperti dahulu. Setelah saya membawa dia balik ke pusat kami dan menjaganya sendiri, keadaannya akhirnya bertambah baik. Kini beliau boleh berjalan dan bercakap seperti orang biasa. Manakala cabaran terbesar yang saya hadapi sekarang ialah kes seorang remaja yang berumur 17 tahun. Dia adalah OKU buta dan pekak, buat masa kini dia hanya boleh minum bijirin oat Nestum. Saya berhasrat untuk mencuba sedaya upaya, supaya dia boleh melihat dan mendengar pada masa depan. Orang lain pastilah akan tertanya sama ada tugas untuk menjaga mereka ini sangat susah. Bagi saya, meskipun tugas ini amat mencabar, saya berasa bangga kerana mereka sebenarnya mendorong saya untuk menjadi insan yang lebih baik. Jumlah perbelanjaan bulanan kami adalah sekitar RM10,000, termasuk gaji bulanan kakitangan kami sebanyak RM6,000. Sebenarnya pusat kami bertempat di sebuah premis yang disewa, namun pemilik bangunan ini ingin menjualkannya secepat mungkin. Justeru, kami berhasrat untuk membelinya. Memandangkan kami terkesan dengan pandemik ini, kami terpaksa mengumpul dana daripada orang awam untuk pembelian ini. Akhir sekali, bagi pihak Pusat Jagaan Jayaa Sri, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Panda Love Charity kerana sudi menghulurkan bantuan. Terima kasih.
This will close in 20 seconds